Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman berkata, permintaan tinggi bagi pasaran ‘offline’ membuatkan syarikatnya bersetuju untuk menambah lebih banyak cawangan bagi keselesaan pelanggan.

Katanya, setakat ini Siti Khadijah mempunyai 19 buah cawangan serta kiosk di Semenanjung Malaysia serta Jakarta.

“Pada tahun ini kami mengharapkan lebih banyak pembukaan cawangan Siti Khadijah dipacu keyakinan terhadap pasaran telekung yang terus berkembang pesat dan mendapat permintaan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Siti Khadijah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital Terbaik.

Pada maj­lis Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Sabtu lalu.

Padzilah berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Bank Islam dan Utusan dalam majlis anugerah berprestij yang kali pertama diadakan itu.

“Alhamdulillah kami berjaya menerima anugerah ini dan ia adalah hasil usaha serta kerja keras warga kerja Siti Khadijah serta sokongan yang tidak putus-putus daripada para pelanggan kami,” katanya.

Dalam pada itu Padzilah berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kapasiti pengeluaran telekung dari kilangnya di Bangi, Selangor dengan mengimport mesin automatik sepenuhnya bagi penghasilan telekung dalam kuantiti yang banyak.

Katanya, ketika ini kilang Siti Khadijah menghasilkan sebanyak 1,700 pasang telekung dalam masa sehari dan menjangkakan kapasiti tersebut akan meningkat kepada 3,000 pasang sehari.

“Ini adalah bagi memenuhi permintaan terutamanya menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.