Melalui satu kenyataan dalam laman Facebook, Siti menerima kekalahan itu dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kepimpinan baharu Majlis Peguam yang dipilih.

“Meskipun membaca pelbagai laporan dari beberapa orang, saya hanya mahu ucapkan selamat maju jaya kepada ahli Majlis (Peguam) yang baru dipilih.

“Kita dipilih untuk berkhidmat kepada Majlis Peguam. Saya sentiasa memberi khidmat kepada Majlis Peguam serta masyarakat lama sebelum dipilih sebagai ahli Majlis dan akan terus berbuat demikian,” katanya.

Siti mendapat tempat ke-17 dalam pemilihan jawatankuasa Majlis Peguam sesi 2019/2020 yang diumumkan kelmarin.

Pemilihan kali ini menampakkan perubahan apabila rata-rata yang terpilih adalah mereka yang jelas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Walaupun akur dan redha, Siti tidak melepaskan peluang untuk menyindir aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid yang nampak gembira dengan kekalahan Siti dan ‘pasukan’ beliau.

Mungkin Siti ‘geram’ dengan Aidil yang sering ‘mengusiknya’ dalam media sosial selain pernah berhadapan beberapa kali dalam forum.

“Saya tidak akan merendahkan taraf saya seperti Aidil ini,” katanya sambil berkongsi tangkap layar hantaran Facebook Aidil tentang keputusan itu. - UTUSAN ONLINE