Perkara tersebut diumumkan Menterinya, Dr. Maszlee Malik selepas beliau mengadakan lawatan mengejut ke Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah di Universiti Malaya (UM), malam tadi.

“Dalam lawatan itu, saya telah bertemu dengan mahasiswa di kolej berkenaan dan bertanya sendiri kepada mereka mengenai masalah yang dihadapi berkaitan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee memaklumkan beliau membuat lawatan mengejut tersebut dalam laman Facebook miliknya malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, beliau segera ke UM setelah membaca laporan media berkenaan masalah kewangan dihadapi mahasiswa sehingga memaksa sesetengah mereka mengikat perut.

“Setibanya saya dari Pasir Gudang, tidak sempat untuk saya pulang ke rumah kerana terus ke UM bertemu mahasiswa di sini bagi mendengar sendiri masalah dilaporkan oleh sebuah akhbar bahawa ada sebilangan mereka terpaksa mengikat perut kerana kos sara hidup tinggi.

“Sebagai Menteri Pendidikan, menjadi tanggungjawab saya mendapatkan maklumat sebenar daripada pelajar-pelajar di sini dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mereka dapat menikmati saat-saat bergelar mahasiswa dengan penuh kegembiraan,” katanya.

DR. MASZLEE bersama pemimpin pelajar membuat lawatan mengejut
DR. MASZLEE MALIK beramah mesra dengan pelajar ketika membuat lawatan mengejut ke kafe Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Dalam gambar yang dilampirkan bersama, kelihatan Maszlee bersama beberapa pemimpin pelajar bertemu dan beramah mesra dengan pelajar di kafe Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah.

Tanpa protokol yang berlebihan, Maszlee dapat mendengar sendiri luahan pelajar menghadapi masalah berkaitan kos sara hidup.

“Isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa bukanlah isu baharu, ia isu lama yang masih belum dapat menemui penamatnya.

“Namun, Kementerian Pendidikan amat memandang berat perkara ini dan akan memastikan beban kos sara hidup yang ditanggung mahasiswa dapat diringankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE