Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu akan menjadi realiti kerana semua jenis pengangkutan darat utama di negara ini akan melalui Putrajaya pada masa akan datang selepas pelbagai projek infrastruktur siap.

“Projek itu ialah rangkaian pe­ngangkutan kereta api Mass Rapid Transit (MRT) laluan kedua yang berpangkalan dari Putrajaya Sentral ke Sungai Buloh, Projek Kereta Api Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL).

“Bermula tahun hadapan, pe­ngangkutan bas di Putrajaya juga akan diperkasakan selepas GETS Global Berhad mengambil alih saham syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tour Sdn. Bhd., sekali gus memantapkan lagi pengangkutan awam di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Saham Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tour Sdn. Bhd. oleh syarikat milik penuh GETS Global Berhad iaitu Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai pengambilalihan itu, Tengku Adnan berkata, ia bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik, khususnya kepada kira-kira 100,000 penduduk di Putrajaya.

“Saya difahamkan, pihak GETS Global Berhad akan melaksanakan sistem pengangkutan awam menggunakan bas elektrik sepenuhnya menjelang 2025 dan sebagai permulaan, lima buah bas elektrik akan mula beroperasi pada suku kedua tahun hadapan.

“Selepas itu, sebanyak 150 buah bas elektrik akan digunakan secara berperingkat bagi menggantikan penggunaan bas gas asli (NGV). Langkah ini dapat menzahirkan hasrat menjadikan Putrajaya bandar hijau, selain me­ngurangkan pencemaran karbon, bunyi serta kesesakan,” katanya.