Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal
NOOR AZIAH

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, cabaran universal atau isu hak asasi manusia yang dituntut oleh golongan muda kini segelintir daripadanya bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sebagai contoh kebebasan beragama, mengamalkan ‘nudeism’, konsep baik dan buruk daripada pelbagai perspektif yang jelas menunjukkan ia merupakan jati diri global yang bertentangan dengan Islam.

“Akibat daripada tuntutan-tuntutan ini, keutamaan nilai pendidikan Islam menjadi semakin luntur dan cuba diganti dengan nilai-nilai universal ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Wacana Pendidikan Islam Siri Ke-11 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dekat sini hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merasmikan program itu yang berlangsung selama dua hari yang akan berakhir esok.

Sementara itu, Noor Aziah berkata, wacana yang bertemakan ‘Pendidikan Islam Membangunkan Ummah Wasatiyyah’ adalah bertepatan sebagai satu persediaan dalam menghadapi cabaran semasa yang boleh menghakis nilai-nilai pendidikan Islam kini.

“Jika kita lihat, istem pendidikan pada hari ini yang telah memasuki abad ke-21 juga menghadapi perbezaan jurang generasi antara pendidik dan murid. Justeru itu, usaha membentuk Ummah Wasatiyyah yang cemerlang dunia akhirat berasaskan pendidikan Islam pada era globalisasi ini perlu dilakukan secara kolektif.

“Selain itu, dalam usaha membentuk peribadi mukmin berkualiti, tiga elemen perlu diberi penekanan iaitu thaqafi yang bermaksud setiap individu muslim harus memiliki ketinggian ilmu, ruhi (pendidik dalam era globalisasi melengkapkan diri dengan aspek kerohanian yang utuh serta da’awil haraki (merujuk kepada pelaksanaan kerja secara terancang),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE