Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, buat julung kalinya sistem itu bakal menjadi pusat sehenti data maklumat berhubung perjalanan dan kemajuan SDG di negara ini.

"Data yang terdapat dalam sistem ini menyeluruh dengan meliputi aspek daripada peringkat kebangsaan sehingga ke daerah.

"Ia menawarkan data-data pelbagai aspek yang memfokuskan bidang-bidang SDG antaranya sosial, alam sekitar dan pembangunan ekonomi," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sistem Pemantau Kemajuan SDG Kebangsaan di sini hari ini.

Majlis Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Mikro) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Zakiah Jaafar.

Mohd. Uzir menambah, sistem berkenaan yang dihubungkan dengan portal Jabatan Perangkaan buat permulaan menawarkan data-data SDG daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Katanya, data-data daripada pelbagai agensi dan kementerian akan dibuat secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. - UTUSAN ONLINE