Siti Hamisah
SITI HAMISAH

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, sistem tersebut yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama pihak konsortium universi bertujuan mengatasi masalah ijazah palsu.

Beliau berkata, langkah tersebut juga dibuat bagi memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

"Menyedari perlunya menjaga reputasi dan integriti universiti-universiti Malaysia, kementerian telah mengambil tindakan proaktif untuk mencegah kes-kes penipuan ijazah palsu dan pada masa sama, tidak merugikan penuntut yang benar-benar jujur dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Siti Hamisah berkata, idea untuk membangunkan sistem itu telah dirumuskan pada Januari lalu oleh Majlis Dekan-Dekan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (MADICT) universiti-universiti Malaysia sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan dalam mengesahkan sijil yang asli.

Katanya, menerusi sistem tersebut, proses pengesahan dapat dibuat di seluruh dunia dengan pantas dengan mengimbas kod respon pantas atau kod QR yang dicetak pada ijazah berkenaan. - UTUSAN ONLINE