Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu penting agar orang ramai lebih bersedia dalam menghadapi sebarang bentuk bencana lebih awal.

Kata beliau, maklumat tersebut pula kemudian boleh disalurkan melalui pembesar suara di masjid-masjid dan balai raya-balai raya.

"Kita haruslah memanfaatkan platform media-media sosial ini untuk meningkatkan sistem amaran awal bencana kerana kadar penembusan internet oleh penduduk di negara ini telah mencapai 70 peratus.

"Kita tahu, agensi-agensi kerajaan telah berperanan dengan baik ketika menghadapi bencana tetapi adalah lebih elok jika masyarakat mempunyai maklumat lebih awal sebagai persiapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kepada Mangsa Bencana Ribut Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Perlis di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada tiga orang waris keluarga yang terkorban semasa kejadian ribut di negeri ini baru-baru ini manakala 109 buah keluarga pula masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM500 untuk membaiki rumah yang rosak.

Selain daripada itu, kata beliau, sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan untuk membaiki sebanyak 58 buah sekolah di seluruh negeri ini yang turut mengalami kerosakan bumbung-bumbung bangunan.

Terdahulu semasa lawatan kerja ke negeri ini, Dr. Wan Azizah meluangkan masa untuk meninjau sebuah rumah di Kuala Perlis dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis di sini, yang rosak akibat dipukul ribut. - UTUSAN ONLINE