HAMZAN HASSAN mengutamakan mutu sewaktu membuat rakaman di studionya di Kota Bahru, Kelantan.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun. Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi dengan aksi mengghairahkan. Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Bagi aktivis seni dikir barat seperti Yie Arjunasukma, keha­diran lagu dan klip video berunsur lucah perlu dibanteras sebelum ke­adaan menjadi lebih parah termasuk merosakkan minda masyarakat.

Yie Arjunasukma atau nama sebenarnya, Mohd. Sulhie Yusuf berkata, lagu-lagu ‘kotor’ itu pernah popular sekitar 1980-an dan selalunya didendangkan pada waktu tengah malam oleh para pendikir.

“Sebaik sahaja memasuki pukul 12 tengah malam, tukang karut mengubah corak persembahan mereka menjadi lucah dan menggunakan wanita sebagai bahan gurauan.

“Amalan itu berkurangan lewat 90-an apabila pendikir lepasan universiti membuat perubahan dengan membawakan lagu-lagu berunsur nasihat dan kritikan sosial,” katanya.

Antara pelopor kepada lagu berunsur nasihat, kritikan sosial serta kemanusiaan ialah Cikgu Sulizi, Halim Yazid dan Cikgu Naim. Usaha murni itu mendapat respons positif sehingga mereka diangkat sebagai ikon kepada golongan belia.

Sekitar tahun 2002, industri muzik Kelantan mula diserikan dengan kehadiran ramai penyanyi wanita. Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop.

Golongan itu yang terdiri daripada gadis dikatakan dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris. Imej seksi mereka dijadikan penghias muka depan album selain dijemput sebagai penyanyi duet atau penari latar dalam klip video.

“Sebagai insan yang memperjuangkan seni warisan Kelantan, saya terkilan kerana fenomena ini menyebabkan masyarakat meng­anggap seni muzik Kelantan itu penuh dengan unsur kotor dan lucah.

“Saya mohon kepada rakan-rakan seperjuangan, jangan hanya kerana ingin mengaut untung semata-mata, kita sanggup 'melacurkan seni' kebanggaan kita ini,” kata Yie Arjunasukma.