SIRUL AZHAR
SIRUL AZHAR

Hasrat tersebut diluahkan oleh Sirul Azhar yang berada dalam tahanan Imigresen di Brisbane, Australia sejak 20 Januari 2015 menerusi kenyataan kepada Utusan Malaysia, hari ini dan semalam.

“Saya sedia bekerjasama de­ngan kerajaan Malaysia yang baharu sekiranya kes itu dibuka semula. Saya mengalu-alukan pertolongan daripada kerajaan Malaysia dan memohon kerajaan supaya bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi membebaskan saya daripada Pusat Tahanan Imigresen di Brisbane, Australia,” katanya.

Sirul Azhar yang pernah bertugas mengiring orang kenamaan penting di luar negara itu juga menyatakan, dia berhasrat memohon pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung kes itu.

Katanya, dia menjalankan tugas demi bangsa dan negara.

Menurut Sirul Az­har, tindakannya itu ekoran daripada rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan perbicaraan kes bunuh itu.

“Saksi-saksi penting tidak dipanggil ketika perbicaraan. Dalam senarai saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, sebanyak 100 orang saksi yang sepatutnya dipanggil. Namun yang dipanggil hanya sebahagian,” katanya.

Dia juga meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap dua peguam yang mewakilinya, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Datuk Hasnal Rezua Merican kerana tidak memfailkan permohonan untuk mengkaji semula hukuman tersebut walhal itu menjadi alasan yang kuat untuk membebaskannya.

Selain itu, Sirul Azhar menyuarakan perasaan tidak berpuas hati kerana tiada saksi mata (eyewitness) dikemukakan dan mahkamah hanya bergantung kepada bukti-bukti keterangan semasa yang tidak kuat.

Katanya, sepatutnya se­suatu pertuduhan itu mestilah kukuh dengan bukti-bukti dan bukannya mengemukakan keterangan yang bercanggah semasa perbicaraan sehingga berlarutan selama 160 hari berbanding kes-kes lain.

Dalam kenyataan tersebut, Sirul Azhar juga meluahkan rasa rindu terhadap anak lelakinya berusia 18 tahun yang menetap dan sedang belajar di Australia.

Sirul Azhar berkata, dia juga merindui anak perempuannya yang berusia 20 tahun yang tinggal di Putrajaya dan dipercayai menghidap barah payudara.