Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, penyelesaian tersebut akan mengabungkan aspek tek­nologi dan perniagaan yang diusahakan, dan ia dibangunkan mengikut standard yang ditetapkan SIRIM bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, inisiatif Industri 4.0 yang diusahakan SIRIM adalah berteraskan stan­dard antarabangsa melalui aplikasi teknologi se­perti autonomous robot, smart manufacturing, simulation, additive manufacturing dan Internet of Things (IoT) serta disokong dengan standard, kualiti, akreditasi, metrologi serta teknologi bahan termaju.

“Impaknya, syarikat-syarikat yang menggunapakai penyelesaian yang dibangunkan melalui pusat ini akan mampu menghasilkan pusingan inovasi dan rantaian pengeluaran yang lebih pendek dengan nilai bekalan bersepadu, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran, kecekapan dan kualiti serta mencapai produktiviti yang lebih tinggi.

“Penyelesaian itu juga selaras dengan matlamat Industri 4.0 yang ditetapkan kerajaan iaitu untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta keupayaan pengeluaran industri, sekali gus mempercepatkan hala tuju Malaysia ke arah Transformasi Nasional melalui Model Ekonomi Baru,” katanya.

Industri 4.0 melibatkan teknologi automasi sememangnya memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini dan memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

Penerimaan Industri 4.0 dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan terha­dap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Ahmad Fadzil berkata, bertepatan dengan usaha SIRIM dalam menyediakan penyelesaian total bagi mengukuhkan pembangunan PKS di negara ini, pelbagai inisiatif lain turut dijalankan bagi menyokong pelaksanaan Industri 4.0.

Antaranya, mewujudkan Program SIRIM-Fraunhofer yang bermula pada 2015 dengan kerjasama Institut Fraunhofer di Jerman bagi membolehkan SIRIM mengenal pasti PKS yang berpotensi untuk melaksanakan elemen Industri 4.0 seperti aplikasi IoT.

Jelasnya, audit yang dilakukan ini akan membantu PKS memahami tentang kekuatan dan kelemahan syarikat serta potensi untuk penambahbaikan. Ia juga dapat membantu PKS dalam usaha mereka menyediakan rancangan tindakan bagi meningkatkan produktiviti, keupayaan pe­ngurusan teknologi dan rantaian nilai.

Beliau berkata, sejak ia diper­kenalkan, sebanyak 320 Audit Teknologi telah dijalankan iaitu pada 2015 dan 2016 sementara 170 Audit Teknologi dijangka dapat diselesaikan pada tahun ini.

Katanya, PKS yang mengikuti Audit Teknologi SIRIM akan dinilai dari segi enam komponen iaitu kecekapan operasi, trend pengurusan bagi proses dan kaedah, pengurusan teknologi, organisasi dan jaringan, pengurusan kakitangan dan strategi teknologi.

“Syarikat-syarikat yang menjalani Audit Teknologi ini adalah daripada pelbagai sektor industri seperti kejuruteraan, kejente-raan, elektronik dan makanan serta minuman.

“Melihat kepada keberkesanannya, SIRIM akan memperluaskan Audit Teknologi ini dan meneruskan pelaksanaannya pada tahun depan.

“Usaha itu bagi membolehkan dipercepatkan lagi langkah PKS ke rantaian nilai inovasi dan bersedia memacu pengkormersialan dan pembangunan dan penyelidikan (R&D),” ujarnya.

Beliau berkata, melalui pe­nemuan Audit Teknologi dan Inovasi PKS juga membolehkan SIRIM membangunkan satu program baharu untuk menangani kelemahan yang wujud terutama dalam industri makanan dan minuman.

Katanya, jaringan inovasi pertama itu, Food for Future Innovation Network dilancarkan pada 2016 dan kini mempunyai 12 anggota daripada PKS. Jaringan tersebut melibatkan penganjuran bengkel Radar Teknologi Pasaran dalam pemprosesan makanan dan senario semasa, lawatan sambil belajar bagi amalan industri baik serta melaksanakan tinjauan industri PKS.

Malah, katanya, bagi meningkatkan lagi daya saing PKS, SIRIM telah menubuhkan Model Inovasi Industri SIRIM yang mana ia berfungsi mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi PKS dan penyelesaian teknologi bersesuaian akan diberikan bagi membantu mereka menangani masalah tersebut.

“Setakat ini, lebih 85 projek telah diluluskan untuk peningkatan teknologi dan 39 lagi bagi program pemupukan yang ke-semuanya untuk membantu PKS meningkatkan produktiviti melalui teknologi,” jelasnya.

Katanya, SIRIM juga telah mengadakan kajian produktiviti dan pertumbuhan PKS kepada 300 PKS pada 2015 dan 2016 bagi menilai keupayaan inovasi sektor yang diceburi syarikat terbabit selain meningkatkan keupayaan inovasi mereka merentasi rantai­an nilai sektor.

Menurutnya, untuk tahun ini, SIRIM telah melancarkan Radar Pasaran dan Teknologi (TMR) iaitu satu medium sokongan perniagaan untuk membantu PKS tempatan mengenal pasti teknologi dan trend pasaran dalam membuat keputusan strategik ke atas pelaburan teknologi.