Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, debat yang merupakan kerjasama antara kementerian dengan UIAM itu akan mengetengahkan isu-isu kritikal dan untuk permulaan, akan membawa isu ‘Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar adalah satu kesilapan’.

“Kita terasing daripada budaya berdebat sudah terlalu lama. Sudah tiba masanya pelajar menjadi pemangkin kepada budaya ini lebih-lebih lagi mereka merupakan bakal-bakal pemimpin di masa hadapan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Siri debat itu akan berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak dekat sini pada 18 September bermula pukul 8 malam dengan menampilkan debat antara Syed Saddiq dan Ketua Eksekutif Kewangan Kumpulan RHB Banking Group, Syed Ahmad Taufik Albar. - UTUSAN ONLINE