Hubungan yang terjalin berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah, bahkan menjadi rakan dagangan antarabangsa yang saling membantu meningkatkan ekonomi masing-masing. Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau bertuah danberbangga dapat berkhidmat di Malaysia yang disifatkan sebagai sebuah negara yang cukup indah serta rakyatnya hidup dengan harmoni walaupun mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Kata Gopala Menon kepada wartawan Utusan Malaysia, AZUAR FAHMI MOHD. ALI baru-baru ini, beliau berharap hubungan Malaysia-Singapura akan kekal diteruskan pada masa hadapan demi kepentingan dan manfaat bersama.

 

Utusan: Apakah perkara yang paling anda suka di Malaysia?

Vanu Gopala Menon: Sukar hendak bezakan antara orang dan makanan! Saya berasa begitu selesa di Malaysia, selain rakyat Malaysia yang baik, makanannya sedap dan mudah didapati. Apabila saya di luar negara, saya sentiasa tertarik dengan loghat Malaysia atau Singapura. Kita mempu­nyai ba­nyak persamaan sehingga ke­dua-dua negara ini saya dirasakan se­perti rumah sendiri.

Pada pendapat anda, apa yang membezakan antara Malaysia dan negara lain di dunia?

Malaysia merupakan tempat pertembungan budaya, bahasa, makanan dan masyarakat. Elemen harmoni dan unik ini menjadikan Malaysia berbeza ber­banding negara-negara lain yang terpaksa berdepan dengan sikap prejudis dan kurangnya toleransi. Rakyat Malaysia, se­perti juga penduduk Singapura, terpaksa berdepan dengan realiti kepelbagaian budaya sebelum ini.

Bagaimana anda melihat per­ubahan terbaharu dalam se­nario politik di Malaysia?

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan peristiwa bersejarah bagi Malaysia. Peralih­an kuasa yang aman se­perti kita lihat selepas hari bersejarah itu. Ia menyaksikan kebijaksanaan dan semangat cekal pemimpin baharu Malaysia, be­gitu juga rakyat negara ini. Saya sekali lagi me­ngucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia kerana memulakan fasa baharu untuk negara anda.

Apa pandangan anda tentang kerajaan baharu yang memerintah Malaysia hari ini?

Ramai yang ‘me­ngu­sik’ saya dengan mengatakan kerja saya akan lebih sukar selepas PRU-14. Dari satu sudut, mereka betul. Membi­na hubungan dengan kerajaan ba­haru, memahami bagaimana ke­rajaan baharu menjalankan tugas dan melaksanakan hubungan dua hala baharu antara Singapura-Malaysia adalah satu tugas yang berat. Bagaimanapun, perubahan dalam kerajaan di Malaysia turut menjadikan hidup kami lebih menarik. Wujud satu semangat baharu dalam kalangan masyarakat Malaysia, seperti yang turut dirasai oleh kami sebagai diplomat. Saya berasa bangga dan rendah diri kerana berada di sini ketika sejarah baharu Malaysia tercipta.

Apakah komen anda tentang hubungan dua hala antara Malaysia dan Si­nga­pura?

Singapura bersedia bekerja­sa­­­ma dengan kerajaan Pakatan Harapan seiring dengan tugas mereka membawa Malaysia menyusuri era baharu. Kami telah mengadakan per­temuan peringkat tertinggi termasuklah lawatan awal Perdana Menteri Si­ngapura, Lee Hsien Loong ke Malaysia bagi mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Ketika kita bekerjasama ke arah agenda hubungan dua hala baharu dan kerjasama serantau, adalah wajar kita ingat sesete­ngah perkara tidak berubah dan tidak akan berubah.

Hubungan sejarah, kekeluargaan dan budaya yang wujud di antara Singapura dan Malaysia akan kekal sebagai fakta. Kitaberkongsi sempadan, dan rak­yat kedua-dua negara bercakap menggunakan bahasa yang sama, makan makanan yang sama, dan ramai antara kita juga mempunyai ahli keluarga dan rakan di Malaysia dan Singapura. Nasib kedua-dua negara secara intrinsik saling berkaitan. Apa-apa krisis yang menimpa salah satu negara pasti akan menjejaskan yang lain. Oleh itu, Malaysia yang kuat, stabil dan makmur adalah baik untuk Singapura. Begitu juga, Singapura yang kuat, stabil dan makmur adalah baik untuk Malaysia.

Sebagai negara jiran yang ra­pat, tidak dapat dielakkan kita akan berbeza pandangan tentang sese­tengah isu pada masa-masa tertentu. Kita tidak sepatutnya membiarkan perbezaan kita mengenai isu-isu lama atau baharu, menjejaskan hubungan yang dipupuk sejak 53 tahun lalu. Malaysia akan sentiasa menjadi rakan pen­ting bagi Singapura, dan kami tetap komited kepada hubungan kerja­sama yang kuat dan saling men­­g­untungkan.

Sejauh mana pula hubungan perdagangan?

Hubungan perdagangan ke­dua-dua negara sangat positif dan menggalakkan. Malaysia ada­­lah rakan dagangan kedua terbesar Singapura selepas China. Jumlah dagangan antara Singapura dan Malaysia pada tahun lalu berjumlah 108.2 bilion dolar Singapura (RM325 bilion), meningkat sebanyak 15.4 pe­ratus daripada 93.7 bilion dolar Singapura (RM281.4 bilion) pada 2016. Import dan eksport kami ke Malaysia juga mening­kat de­ngan ketara antara 2016 hingga 2017. Import barangan dari Malaysia berjumlah 53.6 bilion dolar Singapura (RM161 bilion) pada tahun lalu.

Bagaimana perdagangan an­tara Malaysia-Singapura boleh dipertingkatkan dan apakah bidang baharu yang boleh di­terokai bersama?

Kedudukan Malaysia yang de­kat dan persamaan budaya­nya de­ngan Singapura telah menja­dikan negara ini sebagai tempat tumpuan pelaburan dan perkemba­ngan perniagaan ke­pada keba­nyakan syarikat Singapura, ter­utamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Negara ini juga mempunyai sumber asli dan manusia. Walaupun banyak aktiviti pembuatan biasanya ber­­laku di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Selangor, terdapat juga kawasan baharu di pantai timur Semenanjung Malaysia se­perti Kuantan turut mempunyai potensi pengeluaran yang belum dimanfaatkan.

Dengan jumlah penduduk se­ramai 31.4 juta orang dan golo­ngan kelas pertengahan yang be­sar, Malaysia mempunyai per­­mintaan pasaran yang besar ditambah dengan peluang dalam sektor kepenggunaan seperti peruncitan, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, pendidikan dan e-dagang.

Selain itu, komitmen kuat ke­rajaan untuk memelihara wa­risan dan kebudayaannya menjadikan negara ini sebagai tempat tumpu­an terkenal untuk aktiviti pelancongan serta perhotelan teruta­manya di Johor Bahru, Lembah Klang, Kota Kinabalu, Kuching, Melaka dan Pulau Pinang.

Sementara itu, populasi go­longan belia yang besar dan pening­katan penggunaan te­lefon pintar juga mewujudkan peluang dalam ekonomi digital, teruta­ma­­nya kepada syarikat startup. Ini juga seiring dengan usaha Malaysia untuk mening­katkan ino­­vasi, penggunaan teknologi digital serta penyelesaian pintar.

Apa yang perlu dilakukan untuk menarik lebih banyak sya­rikat Singapura ke Malaysia?

Langkah kerajaan Malaysia un­tuk menyelaraskan agensi-agensi, dan ketelusan dalam amalan perniagaan adalah sa­ngat dialu-alukan. Ini akan memudahkan syarikat Singapura untuk meneliti persekitaran perniagaan tempatan. Perkemba­ngan tenaga kerja dan bantuan dalam pencapaian modal manusia juga akan memudahkan kemasukan lebih banyak syarikat Si­ngapura ke Malaysia. Pasaran buruh untuk pekerja di Malaysia adalah ketat, kerana tenaga kerja Malaysia telah memperlihatkan tahap mobiliti pekerjaan yang tinggi kerana terdapat peningkat­an permintaan untuk perkhidmatan mereka.

Adakah anda melihat lebih banyak syarikat akan melabur di Malaysia?

Minat pelaburan sya­­­rikat-syarikat Singapura sentiasa ku­at, berikutan jarak yang dekat dan perkongsian budaya antara kedua-dua negara. Banyak sya­rikat kini menunggu pengumuman Bajet 2019 untuk menge­ta­hui dasar perniagaan masa de­pan,memandangkan lensa pro-perniagaan yang diterima pakai oleh kerajaan setakat ini, akan terus merangsang minat dan permintaan daripada syarikat-syarikat Singapura untuk pa­saran Malaysia.

Apakah harapan anda me­ngenai hubungan masa depan antara Malaysia dan Singapura?

Saya berharap kita dapat terus bekerjasama dengan lebih rapat, dan memastikan rakyat kedua-dua negara terus hidup dalam suasana harmoni demi kebaikan bersama kedua-dua negara.