Menteri Luar Singapura, Vi­vian Balakrishnan dalam kenya­taannya di Parlimen negara itu hari ini bagaimanapun berharap pertikaian tersebut dapat dise­lesaikan dengan baik.

VIVIAN BALAKRISHNAN
VIVIAN BALAKRISHNAN 

Pertikaian terbaharu adalah membabitkan kawasan perairan di Selat Singapura, laluan perkapalan antara paling sibuk di dunia apabila Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dikatakan menceroboh kawasan perairan Tuas di negara republik berkenaan.

Menurut Vivian, tindakan Malaysia baru-baru ini yang memasuki perairan Singapura telah mengganggu status quo yang tercipta sejak bertahun lama­nya antara kedua-dua negara.

“Tindakan ini tidak baik untuk hubungan dua hala. Mereka (Malaysia) mencipta risiko bahaya terhadap langkah-langkah dan tindak balas yang akan memburukkan lagi suasana.

“Singapura tetap komited untuk mencari penyelesaian yang baik melalui dia­log. Jika rundingan gagal menghasilkan pe­nyelesaian, Singapura bersedia untuk mencari penyelesaian pertikaian di peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Pertikaian ini berlaku apabila Malaysia mengubah had pelabuhannya di Johor Bahru manakala Singapura pula mendakwa berlaku pencerobohan di wilayahnya di Tuas.

“Pencerobohan Menteri Besar Johor adalah bertentangan dengan semangat perjanjian antara saya dan Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah sehari sebelum Osman me­nyiarkan di dalam laman Facebooknya gambar beliau melawat Jabatan Maritim Malaysia di atas kapal MV Pedoman, yang didakwa Singapura berlabuh di perairan negara itu.

“Ia menjejaskan semangat dan kepercayaan yang diperlukan untuk kerjasama berterusan antara kedua-dua negara, terutama kerjasama membabitkan Johor,” ujarnya.

Vivian berkata, perbincangannya dengan Saifuddin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Azmin Ali sehari dan selepas kejadian Osman ‘menceroboh’ itu berlangsung dalam suasana baik dan membina, tertumpu kepada usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit.