Gaji yang sepatutnya dibayar kepada kira-kira 30 orang pemain itu pada 7 hari bulan setiap bulan tetapi telah tertunggak selama hampir dua bulan, walaupun mereka diarah menjalani latihan setiap hari.

Malah setakat ini ada beberapa orang pemain enggan menjalani latihan harian dan telah pun pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tambah merumitkan keadaan apabila Pasukan Singa Utara itu akan berhadapan dengan perlawanan pertama musim ini menentang pasukan yang kuat iaitu Petaling Jaya Rangers FC (PJ Rangers) pada 25 Februari ini dalam saingan Piala FAM.

Walaupun dikatakan para pemainnya yakin untuk berhadapan dengan pasukan berkenaan namun jika isu pembayaran gaji gagal diselesaikan menjelang perlawanan, sudah tentu ini akan menjejaskan moral mereka.

Ini berikutan sebahagian pemain, sudah berkeluarga dan terpaksa menyara anak serta isteri selain komitmen bulanan bayaran kereta dan sara hidup yang lain.

Sebelum ini, pihak pengurusan PFA menjanjikan untuk membayar gaji para pemain secara dua bulan sekali gus pada Tahun Baharu Cina (16 Februari), tetapi sehingga hari ini masih tiada lagi sebarang bayaran dijelaskan.

Dikatakan sehingga kini pihak pengurusan hanya menyerahkan wang pendahuluan sebanyak RM1,000 kepada para pemain pada awal bulan lalu untuk perbelanjaan selain bayaran separuh gaji pada Disember lalu.

Dalam pada itu, bagi para pemain yang kebanyakannya anak jati Perlis, malah ada yang berpengalaman lebih 10 tahun di dalam pasukan lain sebelum ini, mereka sanggup pulang ke kampung halaman semata-mata untuk menaikkan nama PFA.

Apatah lagi mereka dijanjikan menerusi kontrak bahawa gaji para pemain akan dibayar tepat pada masanya setiap bulan.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya malah lebih mengecewakan apabila ia berlaku di awal liga berbanding pada pertengahan dan penghujung musim seperti mana sebelum ini. - UTUSAN ONLINE