Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Peguam Negara yang diadakan pada pukul 2.02 pagi tersebut berjaya memintas sebuah kapal tangki yang tertera perkataan Erta dan sedang membawa warganegara terbabit ke perairan antarabangsa.

Menurutnya, polis turut menahan sebuah bot milik nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran KTF 6102 yang digunakan untuk mengangkut warga ­asing terbabit ke atas kapal Erta.

“Pemeriksaan di atas kapal mendapati terdapat seramai 131 warga Sri Lanka terdiri daripada 98 lelaki, 24 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan tiga lelaki Indonesia dan empat warga tempatan yang ditemui di atas bot nelayan tersebut. Selain itu, polis menahan empat warga tempatan di sekitar Johor Bahru, Johor dan seorang lagi warga tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana terlibat dalam penyeludupan itu,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, daripada keseluruhan tangkapan tersebut, 16 orang terdiri daripada empat warga Sri Lanka, tiga warga Indonesia dan sembilan warga tempatan ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, 127 lagi warga Sri Lanka dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan tidak sah atau tidak diwartakan.

“Dengan tangkapan ini, PDRM telah melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan manusia yang besar dan licik. Sindiket ini telah beroperasi sejak 2017 dan mempunyai kaitan dengan rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Australia, New Zealand, Indonesia dan Malaysia,” ujarnya.