Pemangku Pengarah  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, sindiket yang dipercayai melibatkan banyak pihak itu bergerak menerusi komunikasi antara ejen-ejen dalam kalangan nelayan tempatan dan negara asing khususnya dari Vietnam.

Katanya, siasatan mendapati permintaan terhadap ikan-ikan gred A di Vietnam amat tinggi untuk dieksport ke pasaran Eropah walaupun pada hakikatnya negara berkenaan berdepan kekurangan khazanah laut lalu mendorong pihak sindiket menceroboh perairan negara untuk membeli hasil di tengah laut.

"Tidak dinafikan memang wujud penglibatan nelayan tempatan yang bekerjasama dengan nelayan Vietnam, dan modus operandi mereka adalah dengan memindahkan khazanah laut berkualiti itu untuk terus dibawa ke negara tersebut.

"Akibatnya, ikan berkualiti di pasaran kita makin berkurangan lalu menyebabkan harganya meningkat," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia DM9 di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, kegiatan  itu dikesan berleluasa di sekitar Laut China Selatan termasuk di perairan negeri ini.

Katanya, setakat ini  belum ada  tangkapan dibuat membabitkan ejen sindiket di perairan Terengganu namun pihak masih meneruskan risikan dan mengumpul maklumat serta meningkatkan operasi bagi memastikan kegiatan tersebut dibanteras sekali gus membawa pesalah ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, katanya, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 32 bot nelayan asing ditahan di perairan Terengganu kerana melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram yang melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM48 juta.

"Kejadian terbaharu membabitkan penahanan dua bot nelayan warga Vietnam bersama 34 awak-awak dan tekong yang berumur antara 15 tahun hingga 51 tahun di lokasi berasingan kira-kira 58.9 batu nautika dan 125.8 batu nautika dari muara Kuala Terengganu semalam.

Muhammad Sufi memberitahu, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 108 tangkapan telah dibuat di perairan Maritim Wilayah Timur dengan 29 tangkapan di Pahang, Terengganu (24), Zon Maritim Kemaman (23) dan Kelantan (19).-UTUSAN ONLINE