Kejayaan itu dicapai menerusi penahanan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun dipercayai dalang kepada sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak aktif di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ishak berkata, operasi bermula pukul 6 petang semalam hingga 2 pagi tadi oleh sepasukan pegawai bari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa itu turut menemukan dua pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lima permit memandu antarabangsa Republik Nigeria dan satu lesen memandu Malaysia.

“Kesemua dokumen itu dipercayai palsu. Ketika tangkapan dilakukan, subjek sedang menunggu untuk membuat serahan pelekat PLKS kepada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mustafar berkata, hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa pasukan risikan ke rumahnya terletak di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields.

Menurutnya, hasil penggeledahan telah menjumpai dua pelekat PLKS, satu lesen memandu antarabangsa Bangladesh, satu lesen memandu antarabangsa Sierra Leone, satu Enforcement Card atau E-Kad dan tiga kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di dalam bilik suspek.

“Yang turut dijumpai adalah satu komputer riba, satu mesin pencetak, satu alat pemotong kad, satu mesin laminate, satu pemotong pelekat dan sejumlah peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu,” katanya.

Beliau menambah, subjek didapati telah menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen selama kira-kira dua tahun dan kebanyakkan pelanggannya adalah dari kalangan rakan-rakan atau yang dibawa oleh rakan subjek.

Beliau berkata, setiap kad palsu dijual dengan harga RM100 hingga RM150 sekeping manakala pelekat PLKS pula pada harga RM300 hingga RM500 sekeping dan suspek meraih keuntungan sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan tersebut.

“Modus operandi yang digunakan adalah subjek sendiri yang akan menerima tempahan tanpa melalui orang tengah. Semua urusniaga dilakukan di restoran–restoran mamak sekitar Brickfields. Kesalahan yang dikenalpasti adalah dibawah seksyen 56(1)(l) dan 55D Akta Imigresen,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE