Atas belas ihsan jiran, anak­nya, Mohamad Amirul Musadiqin Kamarudin, 9, dan Mohamad Asli Nafi, 11, yang masing-ma­sing belajar di tahun tiga dan lima menerima baju terpakai yang diberikan mereka.

Nasikin yang tinggal di Kampung Chemperuh di sini berkata, sumbangan kelengkapan berkenaan membawa makna besar kepadanya sekeluarga selain memberi semangat anak-anak­nya untuk belajar.

“Sebelum ini saya tidak mampu membelikan baju baharu kepada anak saya tetapi mereka faham dengan keadaan keluarga meskipun ada mengadu malu dengan kawan-kawan kerana memakai baju lama.

“Pemberian kelengkapan persekolahan baharu ini amat besar ertinya buat keluarga saya dan memberikan keceriaan kepada anak-anak yang sebelum ini hanya menggunakan pakaian diberikan jiran,” katanya yang hanya mengharapkan pendapatan daripada suaminya be­kerja di kedai makan, di sini.

Dalam pada itu, seorang bapa, Man Emak, 30, dari Kampung Orang Asli Chem­peroh berkata, sumbangan TNB ber­kenaan bertepatan dengan keadaan me­reka yang terbeban de­ngan kos sara hidup.

Katanya, pendapatannya kira-kira RM300 sebulan dengan berkebun sememangnya memberi bebanan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya.

“Saya gembira dapat menyediakan kelengkapan sekolah kepada anak saya, Nur Safiqah yang baru masuk tahun satu dengan bantuan diberikan TNB kali ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana me­nganjurkan program ini dan memilih kami sebagai pe­nerima bantuan pada tahun ini,” kata­nya.

Sementara itu, seorang murid tahun lima, Farah Ainul Mardhiah Malindo, 11, bersyukur kerana dapat memiliki sepasang pakaian baharu persekolahan tahun ini.

“Terima kasih kepada TNB dan saya berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang baik dan me­ngubah nasib keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu Ketua (Pembangunan Grid) Bahagian Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, program sum­bangan kelengkapan persekolahan itu dite­ruskan tahun ini melibatkan 400 murid de­ngan peruntukan kira-kira RM80,000.

“Besarlah ha­rapan TNB agar bantuan ini dapat mendorong dan menyuntik semangat anak-anak supaya terus ber­usaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran ma­sing-masing,” katanya.