Mereka tentunya juga pernah melihat urusan pemergian atau pelaksanaan rukun Islam kelima itu dipaparkan di televisyen, dan hari ini 572 kanak-kanak daripada 20 tadika swasta diberi pendedahan pengalaman mengerjakannya melalui program Smart Haji Anak Kemaman (SHAK).

Bertempat di Pantai Telok Mak Nik dekat sini di bawah program anjuran Kelab Guru Tadika Swasta Kemaman (KEDISMA), mereka menjalani simulasi suasana sebenar mengerjakan haji, bermula dengan urusan menaiki kapal terbang menuju Mekah.

Pengarah program, Hilmi Ismail berkata, program tahunan kali ketiga itu bertujuan memberi pendedahan lebih luas kepada kanak-kanak terhadap ibadat yang menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam itu dan menyemai kecintaan mereka terhadap agama.

"Program hari ini kita buat sebagaimana jemaah haji lalui semasa menunaikan rukun Islam kelima bermula dari awal berangkat dengan menaiki bas seumpama menaiki kapal terbang ke Mekah, proses ketibaan dan melakukan rukun-rukun untuk mengerjakan haji.

“Jemaah dilepaskan dengan bacaan doa dan laungan azan, bersalaman, berpelukan sehingga ada yang beremosi sampai menangis,” katanya kepada pemberita dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Penyelaras Kanan Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Mohd Anuar Che Wan Abd. Rahman.

Menurut Hilmi, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan pembelajaran secara praktikal kepada kanak-kanak malah turut memberi peluang ibu bapa untuk belajar bersama termasuk cara memakai ihram dan melontar dalam rukun haji.

Hilmi berkata, ekoran kejayaan pelaksanaan program itu yang dirintis di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, pihaknya merancang untuk meluaskan lagi penglibatan kanak-kanak dalam program berikutnya.

“Kami mensasarkan penyertaan pada tahun hadapan seramai 2,000 kanak-kanak dari lebih banyak tadika termasuk yang dikendalikan oleh agensi kerajaan dan prasekolah,” katanya. - UTUSAN ONLINE