Eksekutif Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Muhammad Hazwan Hairul berkata, jumlah peserta yang menghadiri simposium itu sangat mengalakkan memandangkan ianya melebihi sasaran awal.


“Seramai 450 telah mendaftar atas talian dan kebanyakkan mereka hadir secara individu malah ada juga yang hadir secara berkumpulan.


“Kita juga menerima peserta secara ‘walk-in’ hari ini memandangkan mereka baru sahaja tahu mengenai simposium itu malah kita akan buka pendaftaran bagi mereka yang ingin ke program ini sehingga pukul 5 petang nanti,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.


Menurut Muhammad Hazwan lagi, objektif utama penganjuran program itu adalah memberi pendedahan dan informasi yang terperinci serta meningkatkan kefahaman mengenai pelaburan dan pengurusan bijak perihal saham.


Program yang dibuka percuma kepada Utusan Malaysia ini menampilkan kolumnis tetap Cikgu Saham yang disiarkan setiap rabu di Utusanbiz, Zuraida Mohd. Zakaria bersama tiga lagi pakar dalam industri iaitu Pengurus Shariah & Governance Islamic Capital Market, Bursa Malaysia Berhad, Muhammmad Hasanan Yunus; Penolong Pengurus Pasaran Data Jualan dan Pemasaran SI Portal.com Sdn. Bhd., C.Y Leow dan Konsultan AFIQ Training & Advisory, Suzaridi Maulan.


Simposium yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu akan dipenuhi dengan perkongsian ilmu daripada panel penceramah dan juga aktiviti sampingan yang turut disediakan oleh penganjur antaranya jualan harga runtuh produk eksklusif Kumpulan Utusan dan cabutan bertuah.


Malah bagi mencipta kelainan dalam program itu, kumpulan Mustika Ventures akan menghiburkan peserta dengan mempersembahkan tarian kebudayaan.


Majlis perasmian yang diadakan pukul 2 petang nanti akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.- UTUSAN ONLINE