Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, unit insentif dan agihan pendapatan ADAM50, tidak boleh dikeluarkan sehingga bayi mencapai usia 18 tahun.

Jelasnya, ia merupakan inisiatif kerajaan dan pihaknya untuk mendidik dan menggalak­kan masyarakat akan kepentingan membuat pelaburan dan menyimpan demi kelangsungan masa depan anak-anak.

“Bayi yang dilahirkan antara 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 layak untuk memohon unit amanah percuma ini di mana ia akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk bayi bumiputera manakala Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) untuk bayi bukan bumiputera.

“Dengan menambah pelaburan bulanan serendah RM50, gene­rasi ADAM50 ini bakal mempunyai wang simpanan hampir RM20,000 berdasarkan andaian kadar agihan pendapatan enam peratus setahun,” ujarnya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sijil ADAM50 kepada lapan bayi yang dilahirkan di Hospital Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah HKL, Datin Dr. Nor Akma Yusof.

ADAM50 merupakan satu insentif khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2018.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, tempoh sah pendaftaran ADAM50 adalah dalam masa satu tahun bermula dari tarikh bayi dilahirkan.

Jelasnya, had pelaburan tambahan yang dibenarkan melalui akaun ASB ialah RM200,000 manakala AS1M pula sehingga RM50,000.

“Bajet keseluruhan selama lima tahun untuk melaksanakan usaha ini ialah kira-kira RM500 juta. Ibu bapa perlu memanfaatkannya kerana ia boleh juga diterjemahkan sebagai persediaan untuk pengajian anak-anak di masa hadapan,” katanya.