Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, ia susulan daripada ­prestasi cemerlang skuad silat yang menghasilkan 10 emas sewaktu bertarung dalam Sukan SEA Ke-29 (KL2017), bulan lalu.

“Sebanyak 16 pingat akan dipertandingkan menerusi silat pada Sukan Asia 2018, dengan pecahan empat acara seni dan selebihnya tempur.

“Kami bersyukur sebab kategori untuk tiga juara dunia kita melibatkan Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Nasir dan Razak Ghazali dipertandingkan.

“Mungkin bukan 10 emas akan dijelmakan seperti di Sukan SEA tetapi sekurang-kurangnya kita ada nampak perjalanan untuk ke Sukan Asia 2018.

“Bagaimanapun kami tidak boleh pandang rendah dengan negara lain selain Vietnam dan Indonesia, seperti Korea Selatan, China dan Jepun. Mereka juga bercita-cita untuk menang dalam silat.

“Apa pun kami mahu me­nyumbang pingat emas terba­nyak berbanding sukan-sukan lain di Indonesia nanti,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam Sukan Asia 2014 Incheon, Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-14 de­ngan lima emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Karate dan skuasy masing-masing menyumbang dua emas, manakala pelayaran satu.

Silat memahat sejarah tersendiri apabila dipertandingkan buat pertama kali pada temasya berprestij Asia itu tahun depan, menyaksikan Malaysia berpeluang memanfaatkan peluang tersebut susulan kecemerlangan skuad kebangsaan dalam KL2017.

Mengulas berhubung perubahan fizikal yang mungkin boleh berlaku kepada Al Jufferi susulan ingin menamatkan zaman bujang pada November ini, Megat berkata, beliau yakin juara du­nia tiga kali itu tidak akan bera­lih ke kelas lain memandangkan semua pesilat negara adalah profesional.

“Saya yakin dia akan kekal dalam kelas Putra E. Kita boleh tengok pesilat lain misalnya Razak dan Fauzi (Khalid), mereka masih dalam kelasnya biar pun telah berkahwin. Saya fikir Al Jufferi pun begitu. Pesilat kita sangat profesional,” katanya.