Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, fenomena alam tersebut tidak dapat dihalang dan rakyat dinasihatkan mengambil langkah berwaspada bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

"Pada malam tahun baharu 2019 juga, kita sudah mengarahkan semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat memohon keselamatan.

"Ini kuasa Allah SWT dan kita hanya mampu berdoa memohon kepada-Nya supaya dilindungi Malaysia ini dan negeri Kelantan daripada ditimpa bencana," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Kelantan dan Terengganu berikutan pembentukan satu siklon tropika di perairan Laut China Selatan dijangka berlaku pada 2 dan 3 Januari.

Fenomena itu dikatakan bergerak ke arah barat laut berdekatan pantai di dua negeri ini sekali gus membawa kepada kejadian hujan lebat.

Selain itu, angin kencang melebihi 40 kilometer sejam (kmsj) juga dijangka melanda kedua-dua negeri dan boleh mengakibatkan kerosakan kepada struktur-struktur binaan tidak kukuh serta menumbangkan pokok-pokok.

Beberapa lokasi berisiko turut dikenal pasti termasuk jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih di Kelantan manakala di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu di Terengganu. - UTUSAN ONLINE