Bagi pemenang hadiah utama, Norzaiti Mohd. Zain meluahkan rasa teruja apabila diumumkan sebagai pemenang di tempat pertama dengan memenangi pakej percutian dua hari satu malam di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

“Saya merupakan salah seorang pelanggan setia yang akan membuat langganan majalah setiap tahun kerana bagi saya, majalah terbitan Utusan Karya sangat bagus dan banyak info-info yang berguna.

“Selain itu, saya suka memasak jadi saya lebih banyak beli buku-buku masakan seperti majalah Saji kerana di dalamnya terdapat aneka resepi yang menarik yang boleh dicuba,” katanya selepas menerima hadiah cabutan bertuah berkenaan di Kompleks Sri Utusan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarang Kanan Unit Majalah Umum Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Zulkarnain Zakaria dan Pengurus Jualan Utusan, Mohammad Fahmi Asraf Khan.

Turut memenangi hadiah ca­butan bertuah ialah Abd. Malek Kassim yang menyatakan, beliau tidak menyangka hobinya ke pesta buku setiap tahun dan gemar membeli beberapa bahan bacaan membawa tuah kemenangan pakej percutian yg tidak pernah dijangkakan sebelum ini.

“Saya seakan tidak percaya apabila diumumkan memenangi pakej percutian dua hari satu malam di Bayou Lagoon Park Resort Melaka di Bukit Katil dan tiket Waterpark kerana ini adalah impian kami sekeluarga.

“Setiap tahun saya akan ke jualan pesta buku dengan membawa anak-anak walaupun saya tinggal di Pahang kerana saya mahu pupuk minat membaca ke dalam diri mereka sejak dari kecil lagi,” katanya.

Turut diadakan sesi bergambar bersama para pemenang sebagai tanda kenangan serta lawatan sekitar pejabat operasi Utusan Karya.

Hadiah cabutan bertuah ditaja oleh Sunway Putra Kuala Lumpur, Bayou Lagoon Part Resort Melaka dan restoran makanan segera KFC yang telah menaja sebanyak 10,00 keping baucer semasa pesta buku itu berlangsung.