Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (gambar) berkata, daripada dua juta baucar percuma yang disediakan, hanya 425,000 orang memanfaatkannya hingga bulan lepas.

“Sambutan dingin ini amat mengecewakan kerana boleh membantutkan usaha kerajaan melahirkan pekerja sihat dan berkualiti bagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Maran di sini hari ini.

Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi program tersebut dengan keutamaan kepada pekerja berusia 40 tahun ke atas menjalani pemeriksaan kesihatan percuma.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pekerja yang layak tampil mengambil peluang menyertai program itu kerana pemeriksaan awal lebih baik bagi mengesan sebarang masalah kesihatan.

Beliau juga menggesa majikan supaya lebih proaktif meminta pekerja menjalani pemeriksaan kesihatan percuma tersebut di klinik panel yang dilantik.

“Ini penting bagi memastikan pekerja sihat dan berada dalam keadaan baik setiap masa. Pekerja sihat, berdaya saing dan berkualiti akan memacu hasil serta pembangunan negara,” katanya.