Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, Kementerian Pendidikan tidak boleh lepas tangan dalam perkara ini kerana ia melibatkan kredibiliti sektor pendidikan negara secara keseluruhan selain boleh mencemarkan imej negara.

Tegas beliau, penggunaan sijil akademik palsu untuk tujuan tertentu merupakan satu jenayah dan tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras perbuatan itu daripada terus berleluasa.

Beliau berkata, adalah dibimbangi perbuatan itu jika tidak di atasi boleh memberi mesej yang salah kepada masyarakat.

"Dalam hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju, perkara ini (penggunaan sijil akademik palsu) tidak seharusnya berlaku.

"Kerajaan perlu membersihkan imej, ini bukan soal menteri atau timbalan menteri ada sijil ke tidak, tetapi ini soal integriti dan kredibiliti kerajaan akan tercemar jika tidak dibetulkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu penggunaan sijil akademik palsu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan beberapa pemimpin Pakatan Harapan didakwa memiliki sijil berkenaan.

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.

Malah, terdapat beberapa pemimpin PH dikaitkan dengan isu sama antaranya sijil yang dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, ketika ini tidak terdapat sebarang undang-undang mengawal pemilikan sijil akademik palsu dalam masyarakat, dan kesalahan hanya berlaku apabila sijil berkenaan disalahguna untuk tujuan tertentu.

Raduan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, sijil atau ijazah hanya dikurniakan oleh institusi pengajian tinggi selepas seseorang tamat pengajian dan melepasi standard ditetapkan serta diperakui oleh Senat dan agensi penarafan.

Beliau menarik perhatian amalan di dalam sektor pendidikan dan industri apabila mereka yang menggunakan sijil akademik palsu akan dipecat atau dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

Malah katanya, di negara Barat mana-mana pemimpin politik yang dikaitkan dengan isu pemilikan sijil akademik palsu akan meletakkan jawatan.

"Ini kerana, pemimpin politik selain jadi pemimpin mereka menjadi teladan kepada msyarakat," katanya. - UTUSAN ONLINE