Gesaan tersebut terkandung dalam Deklarasi Jakarta yang merupakan pelan tindakan bersama itu turut mengambil ketetapan menggesa masyarakat antarabangsa memboikot barangan Israel yang dihasilkan di wilayah yang diduduki secara haram di Palestin.

Selain itu, deklarasi itu mencadangkan supaya ditingkatkan bantuan kewangan dan pembangunan bina upaya oleh negara-negara anggota OIC, negara-negara bukan ahli dan badan-badan antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan institusi kerajaan Palestin.

Deklarasi itu juga menggesa ditubuhkan kumpulan pakar undang-undang untuk meneliti kaedah merujuk isu pelanggaran hak asasi manusia dan memberi nasihat kepada kerajaan Palestin di institusi dan lain-lain badan perundangan antarabangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penglibatan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada sidang kemuncak ini adalah untuk melahirkan kebersamaan dan sokongan moral negara ke atas Palestin dan rakyatnya.

“Malaysia telah memperbaharui komitmen dan mengulangi sokongan yang tidak berbelah bahagi atas perjuangan dan hak-hak rakyat Palestin dalam mempertahan dan melindungi wilayah Palestin dan Al Quds Al Sharif dan Malaysia mene­gaskan bahawa usaha negara anggota OIC perlu ditingkatkan serta tidak hilang fokus,” kata kenyataan itu.

Sempena sidang kemuncak itu juga, Anifah juga turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawat dari Tajikistan, Gambia, Tunisia, Turki dan Iran.

Penangguhan sidang kemuncak tergempar itu diumumkan oleh Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo lewat petang ini. – UTUSAN