Persidangan tersebut yang berlangsung pada hari ini dan esok, dihoskan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT).

Persidangan bertemakan ‘Me­ngubah Dunia Kita’ itu turut membincangkan peluang pekerjaan serta membantu memperkukuhkan ekonomi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif WTTC, David Scowsill berkata, sektor pelancongan sebenarnya boleh mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang secara positif kepada pasaran ekonomi dunia selaras dengan Agenda Pemba­ngunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya berharap persidangan kali ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di seluruh dunia bahawa pelancongan merupakan salah satu sektor terbesar dan menjana kira-kira 10 peratus kepada ekonomi dunia.

“Setakat ini sektor pelancong global berjaya menjana lebih AS$7.6 trilion (RM33 trilion) dan mewujudkan hampir 300 juta peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Global Ke-17 hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha yang turut berucap merasmikan persidangan tersebut, menyokong penuh usaha WTTC dalam memperkasakan sektor pelancongan dunia.

“Seperti yang anda tahu bahawa Thailand mempunyai banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah. Melalui sektor pelancongan ini juga, Thailand berjaya menjana pendapatan 2.52 trilion Bath (RM313 bilion) dan mewujudkan hampir 14 juta pekerjaan pada tahun lalu,” katanya.

Sidang Kemuncak Global kali ini berjaya menarik penyertaan lebih 800 delegasi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta seluruh dunia se­perti Malaysia, United Kingdom, Jepun, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Jamaica dan Kenya.

Timbalan Menteri Pelanco­ngan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dijangka berucap, esok. – utusan