SALAHUDDIN AYUB
SALAHUDDIN AYUB 

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal, Salahuddin juga memaklumkan yang beliau mahupun kementerian tidak mengambil sebarang tindakan susulan ke atas setiausaha politik tersebut dengan alasan selesa bekerja dengannya.

“Tiada apa-apa projek dan itu nonsense (tidak masuk akal).

“Dia (setiausaha politik) masih lagi bekerja sejak hari pertama keluar daripada tempoh remannya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kilang susu Goodday di sini hari ini.

Ujar Salahuddin, penyiasatan dilakukan SPRM setakat ini telah selesai dan beliau menyerahkan kepada undang-undang untuk menentukan nasib lelaki berusia 47 tahun itu.

“Kalau dia kena dakwa, biar undang-undang tentukan (sama ada dakwaan itu betul atau salah),” katanya.

Setiausaha Politik Salahuddin direman empat hari oleh SPRM selepas disyaki menerima suapan berbentuk jam tangan jenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000 tahun lalu dan dibebaskan pada 4 April lalu.

Reman terhadap lelaki itu dilakukan susulan dakwaan pemberian jam tersebut dipercayai sebagai dorongan daripada sebuah syarikat untuk membolehkan projek di bawah kementerian berkenaan dapat dibangunkan.