Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, buat masa ini, masih ada lagi beberapa perkara yang perlu diteliti dan dilengkapkan dalam kedua-dua kertas siasatan kes terbabit.

Menurutnya, selepas perkara itu lengkap, maka baharu ia di­serahkan kepada Jabatan Peguam untuk tindakan selanjutnya.

“Pagi tadi saya diberi taklimat bahawa ada sedikit lagi tindakan perlu dilakukan untuk lengkapkan siasatan melibatkan FGV dan FIC.

“Kami akan hantar kertas siasatan bersama beberapa cada­ngan kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada kes ini akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Logo Ulang Tahun Ke-50 SPRM dan Kempen Pencegahan Ra­suah Dalam Sektor Pengangkutan Awam di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ke­tua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Abdul Samat Kasah.

Ditanya mengenai kandungan cadangan yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli berkata, pihaknya masih belum membuat sebarang cadangan kerana siasatan belum lengkap.

“SPRM ketika ini belum me­mu­tuskan individu yang akan di­dakwa termasuklah bekas Pen­gerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad,” ujarnya.

Sementara itu Dzulkifli memberitahu, pengurusan tertinggi SPRM sebelum ini dalam ke­nyataan sebulat suara memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan mahu meneruskan keputusan tersebut.

“Sekarang kita sudah merujuk perkara itu kepada Peguam Negara. Buat masa ini kita masih me­nunggu maklum balas Peguam Negara untuk tindakan seterus­nya dilakukan,” jelasnya.