Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya masih lagi dalam proses melengkapkan kertas siasatan tersebut dan akan me­nyerahkannya dalam masa terdekat.

“Kita cuba untuk selesaikan siasatan secepat mungkin dan kalau sempat mungkin dalam minggu hadapan atau dua minggu lagi.

“Ia masih belum lengkap lagi, masih belum boleh serahkan pada Peguam Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar) 2017 di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status terkini siasatan terhadap FGV serta pembelian hotel FIC di Kuching, Sarawak dan Ke­n­sington, London.

SPRM memulakan siasatan terhadap FGV pada Jun lalu dengan memfokuskan pada enam aspek, antaranya dakwaan salah guna kuasa seorang pegawai atasan memberi kemudahan penerbangan kelas pertama kepada isterinya yang tidak layak mendapat kelebihan itu.

Selain itu, siasatan turut meliputi isu projek pengubahsuaian kondominium kepada kroni selain transaksi perniagaan FGV dengan syarikat Cambridge Nanosystems bernilai STG100 juta (RM551 juta) serta urus niaga membabitkan Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP) dengan syarikat Safitex.

Pada 21 Jun lalu, bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tampil memberi ketera­ngan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London dan Kuching, Sarawak, masing-masing pada 14 Julai dan 27 Julai lalu.

SPRM kemudian bertindak menahan Mohd. Isa pada 15 Ogos lalu bagi membantu siasatan sebelum beliau dibebaskan lima hari kemudian atas jaminan sebanyak RM150,000 de­ngan dua penjamin.