Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat sekiranya ada unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada hari pertama memulakan tugas.

“Ini hari pertama saya di kementerian. Saya tidak mahu jadi macam penyiasat. Saya mahu tangani semua dan bukan hendak tengok satu isu.

"Saya akan meneliti isu itu dan menjalankan kajian dalaman. Kita tidak menghalang SPRM melakukan siasatan," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimatnya di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.

Sebelum Ini, Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng membuat laporan meminta SPRM menyiasat segera kes penjualan 64 bidang tanah berkeluasan 171 hektar pada harga RM4.28 bilion kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013 melibatkan bekas menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika ada salah laku serta menguta­makan ketelusan, integriti, amanah dan tanggungjawab dalam kalangan warga Kementerian.

Mengenai projek River of Life, beliau berkata, ia antara projek yang akan diberi tumpuan khususnya isu kebersihan, pengurusan sisa dan kesedaran umum.

Dalam perkembangan sama, Khalid memberitahu bahawa beliau akan melawat kesemua agensi di bawah kementeriannya termasuk di Labuan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perjalanan pentadbiran dan suasana di setiap agensi agar khidmat kepada penduduk di wilayah dapat dilaksanakan dengan cemerlang. – BERNAMA