Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, siasatan yang dijalankan oleh sebuah panel bebas akan diteruskan pada 24 dan 25 Ogos ini dengan memanggil salah seorang daripada empat pegawai kanan terlibat.

“Sehingga kini, tiga orang te­lah memberikan keterangan dan hanya tinggal seorang lagi yang belum selesai.

“Selepas siasatan selesai, kita akan terima laporan sebelum menentukan tindakan sewajar­nya kerana ini melibatkan urusan dalaman FGV,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan jemaah haji kelolaan Felda Travel di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Bertanggungjawab FGV, Datuk Khairil Anuar Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel, Nora Azmin Radzuan.

Pada awal Jun lalu, empat pegawai kanan FGV termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Da­tuk Zakaria Arshad diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman dilakukan berhubung tunggakan hutang kepada syarikat Safitex yang didakwa melanggar peraturan FGV.

Sementara itu, Sulaiman memaklumkan, Felda Travel selaku anak syarikat FGV berhasrat menambah tawaran pakej menunaikan haji sejajar usahanya menjadi syarikat perkhidmatan haji terunggul di negara ini.

“Sejajar pertambahan kuota jemaah Malaysia kami kini dibenarkan menawarkan kepada 370 orang pakej haji berbanding 123 orang tahun lalu.

“Kalau boleh, kami mahu jumlah itu ditambah lagi sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melaksanakan ibadah haji di bawah perkhidmatan kami,” katanya.