Ibu Soko Perut Kemin Be­ringin, Melor Bijak berkata, pi­haknya terkejut selepas melihat senarai nama tiga buapak daripada perut tersebut yang telah dijemput untuk satu pertemuan dengan dewan berkenaan pada 9 Mac ini.

Beliau berkata, salah satu nama tersebut tidak sama de­ngan individu yang dilantik oleh perut tersebut dalam kerapatan pada 30 September tahun lalu.

“Buapak baharu Perut Kemin Beringin ialah seorang guru ber­usia 26 tahun iaitu Tok Menti Penghulu, Mohamad Nor Rizal Zakaria yang telah mendapat pilihan majoriti dalam kerapatan tersebut.

“Beliau menggantikan buapak sebelum itu, Barahan Ujang yang telah dipecat sebulat sua­ra oleh anak-anak buah kerana tidak melunaskan tanggungjawabnya dan tidak amanah seperti mengetepikan lima daripada enam calon Undang dari Perut Kemin Beringin, sebalik­nya mengekalkan seorang calon lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, laporan rasmi mengenai pelantikan Mohamad Nor Rizal itu telah dikemukakan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela (Datuk Ombi), Kadim Kidam selepas kerapatan tersebut

Bagaimanapun jelasnya, pi­hak­nya mendapati nama Mohamad Nor Rizal telah digantikan dengan Muhamad Irwandy Yusof.

Tambahnya, semakan yang dibuat oleh pihaknya dengan Kadim juga mendapati Datuk Ombi itu juga tidak tahu-menahu mengenai pelantikan Muhamad Irwandy.

“Kami minta Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menyemak semula dari mana datangnya nama Muhamad Irwandy sama ada dibuat secara rasmi atau secara sembunyi oleh pihak tertentu. Ini penting kerana dewan berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan buapak dari Perut Kemin pada 9 Mac ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkai­tan, Melor turut meminta Kadim menyiasat percubaan untuk mengambil alih jawatan Datuk Maharaja Inda (Majinda) secara pakatan tersembunyi.

Katanya, ada percubaan pihak tertentu yang mahu melakukan perbuatan itu dengan membelakangkan tradisi dan mencabul institusi adat.

“Majinda ialah Datuk Lembaga Tiang Delapan daripada waris Kemin yang akan menyenaraikan calon-calon yang layak untuk pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16 yang masih kosong sehingga kini,” ujarnya.