YUSUF AZMI
YUSUF AZMI

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi berkata, tanpa ejen-ejen tersebut Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman, tidak akan berjaya mempromosi projek Mini Banglo berkenaan.

“PPIM percaya Noruliman tidak bertindak sendirian. Dia pasti ada kuncu-kuncu yang membantunya mencari pelabur dan terus menjual mimpi kepada khalayak ramai yang rata-ratanya mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri.

“Justeru kami menyarankan siasatan polis turut meliputi mereka yang menjadi ejen kepada syarikat berkenaan,” tegas beliau ketika mengulas penahanan Noruliman yang turut dikenali Boy Iman oleh polis hari ini.

Sebelum ini tular video memaparkan Yusuf bersama aktivis PPIM serta mangsa berdepan dengan Boy Iman bagi menuntut dia bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung mangsa yang menyertai projek Mini Banglo berkenaan.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan akhbar mengesahkan penahanan Boy Iman bersama dua pemilik syarikat Juta Kelulut Global Resources dalam dua tangkapan berasingan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang dan sebuah kondominium di Setapak, dekat sini semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun itu ditahan berhubung penipuan projek pembinaan rumah banglo yang melibatkan jumlah kerugian sehingga RM6.2 juta.

Sementara itu, Yusuf turut mencadangkan polis mengadakan kerjasama dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat akaun-akuan milik Nouruliman, syarikatnya dan Juta Kelulut Global Resources dan ejen-ejen mereka.

Jelas beliau, siasatan terhadap akaun-akaun berkenaan perlu untuk mengetahui ke mana sebenarnya wang yang dikumpulkan daripada mangsa itu disalurkan dan dapat membantu pihak berwajib mengembalikan wang berkenaan kepada mangsa.

“Setakat ini kita tidak tahu ke mana wang berkenaan disalurkan dan ini akan menyukarkan usaha untuk memulangkannya kepada para mangsa yang terlibat,” katanya. - UTUSAN ONLINE