Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dibuat oleh mereka yang berada dalam pentadbiran kerajaan berhubung isu tersebut perlu dipandang serius.

“Ada menteri-menteri yang mempolitikkan perkara itu. Sebab itu saya cadangkan menteri berkenaan mesti disiasat kerana ia satu tuduhan. Menteri tak boleh cakap sesuka hati.

“Istilah akan ada rampasan kuasa yang didakwa sendiri oleh anggota pentadbiran kerajaan adalah perkara besar. Bermakna kerajaan ada maklumat bahawa ada pihak nak rampas kuasa.

“Kita tidak mahu berlaku kudeta dalam negara. Jatuh bangun kerajaan dalam negara kita selama ini melalui proses demokrasi. Oleh kerana dua menteri menyebut perkara yang sama, kita kena pandang serius.

“Kita harap pihak polis tidak memihak dan tak memandang kecil perkara itu. Orang berkenaan mesti beri kenyataan dan bukti bahawa ada perancangan rampasan kuasa oleh sesiapa sahaja seperti didakwa,” katanya selepas Ceramah Sepentas Barisan Nasional (BN) Muafakat Rakyat di Taman Kelab Tuanku di Rantau di sini malam tadi.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.

Statut itu ditandatangani pada 4 Mac lalu tanpa makluman serta perbahasan di Parlimen dan dikatakan tanpa melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh meminta kerajaan supaya berterus terang dan memberi gambaran jelas tentang apa dilakukan oleh Majlis Raja-Raja dalam isu Statut Rom.

“Adalah sangat tidak adil gambaran sebenar tidak diterangkan oleh kerajaan kerana Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh keluarkan kenyataan politik, tak boleh buat sidang akhbar.

“Apa yang saya tahu Majlis Raja-Raja tidak buat seperti yang digambarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, maknanya bukan Majlis Raja-Raja yang hasut rakyat dalam isu ini tetapi mereka yang hasut,” katanya. - UTUSAN ONLINE