Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, secara keseluruhan golongan tersebut menerima bantuan kerajaan yang dikurangkan lebih RM500 juta berbanding kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya yang langsung tidak boleh diterima adalah tidak dinyatakan langsung status inisiatif jaringan keselamatan sosial atau social safety net yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) seperti Bantuan Musim Tengkujuh dan Bantuan Khas menunggu Musim Menuai.

“Bantuan ini bukan untuk beli undi mereka. Bantuan ini tentang mereka dapat makan atau tidak kerana bagi golongan ini, ketika musim tengkujuh, ketika menunggu musim menuai, mereka hilang punca pendapatan utama mereka.

“Sekarang saya nak tanya, kalau bukan kerajaan yang bantu golongan ini sewaktu musim-musim sebegini, siapa yang nak bantu mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE