Mereka adalah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang akan bersara April ini diikuti Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zahara Ibrahim pada Mei ini selepas lanjutan perkhidmatan selama enam bulan.

Turut bersara wajib adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong yang masing-masing akan bersara pada Mei serta Ogos ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, situasi itu akan menyebabkan badan kehakiman negara sedikit 'terencat' kerana kerana hakim-hakim berkenaan bersara hampir serentak pada tempoh yang sama.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan kerja-kerja pembaharuan kehakiman yang berjalan tidak terganggu dengan kekosongan hakim-hakim ini.

"Saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim kepada 70 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Bung Moktar, lanjutan itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana banyak negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura, Filipina dan Indonesia menetapkan usia persaraan hakim adalah 70 tahun.

"Majoriti hakim yang bakal bersara ini masih sihat dan pengalaman mereka masih diperlukan untuk terus berkhidmat," katanya. - UTUSAN ONLINE