Pertemuan secara tertutup itu diadakan selama hampir sejam setengah dan turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Anwar Ibrahim tiba di istana berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui sejurus selesai mengadakan pertemuan itu berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah tentang calon Menteri Besar Selangor yang akan menggantikan Mohamed Azmin.

“Kita ada bincang soal itu (calon Menteri Besar) dan ia hampir selesai. Senarai calon terlalu ramai, puluhan.

“Kita buka senarai calon ini kepada semua parti, tetapi dalam soal ini Menteri Besar mestilah daripada parti mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu PKR,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan supaya Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan selepas Aidilfitri iaitu pada 19 Jun ini.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani berkata, istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan berkenaan akan diadakan di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

Ketika ditanya siapa yang bakal menggantikan Mohamed Azmin, Anwar memberitahu, perkara itu masih belum diputuskan.

Anwar dalam pada itu berkata, pertemuan beliau dengan Sultan Sharafuddin turut menyentuh soal berkaitan ekonomi negeri dan isu kebajikan.

“Tuanku turut bertitah agar memartabatkan bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam selain menjaga keharmonian pelbagai kaum,” ujarnya.