Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin kerajaan yang terlibat jenayah, namun memerlukan masa untuk mengumpul bukti kukuh terlebih dahulu sebelum membawa mereka ke mahkamah.

“Ada yang berpendapat kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin kerajaan lama yang terlibat jenayah, saya nak jelaskan apabila kita cuba buat ikut undang-undang maka ia memerlukan bukti kukuh sebelum dihadapkan ke mahkamah.

“Ini yang melambatkan dan ramai yang terlibat dengan rasuah, terdiri daripada pemimpin kerajaan lepas nampaknya seperti tidak ada tindakan sama sekali diambil ke atas mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta pimpinan tertinggi parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sememangnya sedang memberi tumpuan kepada kes-kes yang mempunyai bukti kukuh dan jelas boleh disabitkan sekiranya dibawa ke mahkamah.

“Kita tidak hanya menumpukan kepada kes besar yang perlukan bukti lebih jelas tetapi juga kes kecil yang melibatkan pemimpin lain yang tidak kurang bersalah dalam pentadbiran lama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir berkata banyak lagi dakwaan akan dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, siasatan kes melibatkan bekas perdana menteri itu mengambil masa lama kerana kurang kerjasama daripada mereka yang punya maklumat mengenai kes berkenaan dan kesukaran dalam mendapatkan dokumen berkaitan dakwaan. - BERNAMA