Realitinya tidak ramai yang berjaya dan boleh dikira dengan jari, selebihnya terpaksa menanggung hidup dengan membuat pekerjaan lain.

Malah, ada di antara mereka satu masa dahulu tiada rumah dan terpaksa menumpang di kediaman orang lain sehingga timbul isu besar di negeri ini selain ada yang terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menanggung hidup biarpun lagu mereka sering kedengaran di corong radio atau menjadi siulan anak-anak muda.

Menurut kajian Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2014, antara 100,000 hingga 150,000 unit VCD dan video cakera digital (DVD) dikir barat terjual setiap minggu di negeri ini.

Fakulti itu turut menganggarkan setiap pengusaha ‘indie’ yang menerbitkan DVD klip lagu-lagu dikir barat mampu memperoleh jualan sehingga RM500,000 sebulan biarpun menghasilkan produk dengan kos yang rendah.

Rata-rata penyanyi ‘lagu Kelate’ berkarya atas dasar semangat dan keseronokan secara sukarela, mereka tidak ambil pusing jumlah bayaran yang diterima.

Antara artis yang berjaya ialah Halim Yazid, Cikgu Sulizi dan Man Khan yang telah memiliki syarikat rakaman sendiri serta mempunyai beberapa artis bernaung di bawah­nya seperti Rosalinda, selebihnya tidak diketahui nasib mereka.

Menurut pemuzik dan komposer tempatan, Hamzan Hassan, setiap album yang dikeluarkan melibatkan kos di antara RM15,000 sehingga RM20,000.

“Lazimnya artis akan mene­rima bayaran sekali gus sekitar RM5,000 untuk satu album, mereka tidak mengambil royalti sepertimana artis arus perdana.

“Selebihnya yang akan mendapat untung adalah penerbit, tetapi jika artis itu menerbitkan sendiri album, mereka akan mendapat untung lebih,” kata­nya.

Sementara itu penyanyi bersuara lunak, Nordin Yusof, 55, atau lebih dikenali sebagai Megat Nordin mengakui kelemahan pengurusan menyebabkan mereka tidak mendapat bayaran setimpal.

“Saya tidak tahu ke mana wang hasil nyanyian saya kerana kelemahan pengurusan dan kami hanya mengikut jumlah bayaran ditetapkan penganjur,” katanya.

Untuk rekod, Megat Nordin terpaksa menumpang di rumah orang kerana tidak memiliki kediaman sendiri ketika mula mencipta nama sebelum mendapat bantuan kerajaan Pas Kelantan.