Mesyuarat yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada 10.30 pagi itu diadakan berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V dari Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu.

Mengikut sistem penggiliran, dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu, masih tinggal tiga raja Melayu iaitu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan senarai kedua giliran menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Penggiliran kali pertama pe­lantikan Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Nege­ri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

 

Ia terus dijadikan panduan penggiliran ke­dua dan mengikut perkemba­ngan, dijangka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Pada mulanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atau Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikatakan bakal dipilih memandangkan Sultan Pahang gering.

Namun apabila Sultan Ahmad Shah menyerahkan takhta kepada anakanda baginda sebagai Sultan Pahang, maka raja dari negeri itu akan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Berkaitan proses pemilihan, menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan, iaitu dalam kes kali ini adalah Pahang.

Perlembagaan memperuntukkan seorang raja layak dipi­lih kecuali belum dewasa atau mem­beritahu Pe­nyimpan Mohor Besar bahawa ba­ginda tidak berhasrat dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-Raja.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap raja dan setiap raja diminta menandakan pendapat­nya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama yang kemudian dimasukkan dalam peti undi.

Calon mesti mendapat majo­riti lima undi sebelum raja yang mempengerusikan mesyuarat menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Kertas undi dimusnahkan di hadapan raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.

Jika raja yang berjaya tidak menerima tawaran atau raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Proses selesai selepas ba­ginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, majlis mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.