Menurut Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo, langkah tersebut diambil bagi mengeksplorasi pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan dan mengukuhkan kerjasama di negeri ini.

Katanya, selain itu mereka turut memperbaharui program pembangunan bakat tempatan, Projek LINK dalam membantu belia Sarawak dengan kemahiran seperti kimpalan yang bermula pada 2012.

“Kolaborasi baharu ini yang mana kami akan bersama melihat kebolehlaksanaan membangunkan pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan dan mengukuhkan usaha sama dalam skala besar.

“Kajian kebolehlaksanaan itu memfokuskan pembangunan mesra alam sekitar yang mapan, ekonomikal dan program diiktiraf berdasarkan pemuliharaan serta pemeliharaan landskap alam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-25 Shell Middle Distillate Synthesis (SMDS) yang merupakan loji gas ke cecair (GTL) komersil pertama di dunia di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tanggau.

Tambahnya, MOU itu juga jelas menunjukkan keseriusan Shell dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau mengiktiraf usaha Shell dalam usaha konservasi ke arah tenaga bersih.

“Sarawak juga mahu memberi jaminan bahawa kita tidak akan menjejaskan hubungan yang sudah terjalin dengan hak perlesenan dibawah Sarawak.

“Sebaliknya melalui persekitaran perniagaan betul bagi memberi manfaat kepada semua pihak dalam industri minyak dan gas,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE