Jelas vokalis kumpulan itu, Duta, mereka sudah bersedia untuk menggegarkan konsert yang bakal berlangsung di KWC Fashion Mall malam ini.

“Semua sudah siap dan sedia. Susunan muzik, mental dan fizikal juga berada dalam keadaan sedia.

“Kami akan menyampaikan 15 buah lagu dalam konsert berdurasi lebih kurang dua jam itu.

“Pastinya konsert kali ini lebih istimewa kerana susunan muzik dan pendekatan yang berbeza dari sebelumnya,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar malam tadi.

Dalam pada iti, Duta berkata, mereka juga bakal menyampaikan single baharu, Filem Favorit termasuk lagu-lagu popular mereka yang lain.

“Kalau dua tahun lepas, kami hanya menyanyikan lagu daripada album sebelumnya tapi kali ini sudah ada single baharu, jadi pastinya berbeza pendekatan.

“Kalau hendak cakap soal gimik, nanti bukan jadi rahsia lagi. Tetapi yang boleh saya cakap, persembahan lebih matang dan tiada artis lain selain kami,” katanya. - UTUSAN ONLINE