Dengan hanya sekali lafaz, Sam, 34,  bergelar suami kepada Syatilla Melvin atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 25,  di kediaman keluarganya di Bukit Jawi tepat pukul 9 malam ini.

Pasangan berkenaan yang mengenakan persalinan berwarna putih dinikahkan Pengarah Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Elias Zakaria dengan Syatilla Melvin diwalikan bapanya.

Pada majlis itu, Sam turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,082 diiringi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Sejurus selepas akad nikah, Sam melahirkan kesyukuran kerana impiannya bersama  Syatilla  Melvin  untuk bergelar suami isteri dimakbulkan.

“Syukur kerana akhirnya kami berdua disatukan dan majlis juga berjalan lancar,'' katanya.

Sam yang popular dengan filem Adnan Sempit ditunangkan dengan Syatilla Melvin dalam majlis tertutup semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman yang juga abang ipar pengantin perempuan selain pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Kedua-dua mempelai akan diraikan dalam majlis resepsi di Jawi Golf Kelab esok manakala majlis di pihak lelaki dijadual berlangsung pada 14 Februari ini di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.