Steven Ong Chee Siong, 49, dari Batu Pahat, Johor, menyewa bas berkenaan untuk membawa adik beradiknya serta ahli keluarga isterinya seramai 40 orang menyaksikan hari bersejarah bagi dua orang anaknya yang menamatkan latihan kepolisan di pusat tersebut.

Dia memberitahu, anaknya, Amy Ong Swee Mui, 23, dan Jenny Ong Miow Siong, 22, memecahkan tradisi keluarga dengan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebelum ini, tiga ahli keluarga kami berkhidmat sebagai anggota polis simpanan sukarelawan di Ibu Pejabat Polis Batu Pahat.

“Semasa mereka berdua memberitahu mahu menjalani latihan polis, saya sangat terkejut kerana tidak menyangka mereka berminat untuk menyertai pasukan tersebut kerana Amy memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim manakala Jenny adalah lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Sebagai bapa jelasnya, dia memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai pasukan polis kera­na dapat membuktikan bahawa mereka mampu berkhidmat untuk negara.

“Saya sangat bangga apabila kedua-dua anak perempuan memilih kerjaya tersebut. Keluarga kami sangat teruja untuk melihat mereka menamatkan latihan,” ujar­nya.

Steven berkata, mereka bertolak dari Batu Pahat seawal pukul 2 pagi ini dan turut menempah banting yang tertera nama anaknya itu untuk dibawa ke sini.

Tambahnya, beliau juga mengedarkan kalendar mini yang juga tertera gambar anaknya kepada orang awam yang datang ke Pulapol hari ini.

Menurutnya, skim perkhidmatan polis terutama tangga gaji yang semakin menarik selain terdapat banyak cabang perkhidmatan dalam pasukan itu menjadi faktor utama mengapa kedua-dua anaknya berminat menceburi pasukan beruniform itu.

“Saya juga berharap agar masyarakat Cina di negara ini menyokong anak masing-masing menyertai PDRM,” katanya.