Menurut baginda, untuk mencapai satu pembinaan tamadun yang unggul dan tinggi memerlukan pengurusan yang cemerlang dan berprinsip.

Namun titah baginda, untuk mencapai pengurusan yang cemerlang dan berprinsip setiap generasi Islam perlu ada wawasan dan matlamat.

“Untuk cemerlang, setiap individu dan generasi itu perlu merencanakan masa depan secara berjadual,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan perkara itu selepas menunaikan solat Jumaat, di Masjid Ajdarbey, di Baku, Azerbaijan hari ini.

Terdahulu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs RM1,000 kepada masjid tersebut.

Baginda kini berada di Azerbaijan bagi mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Ketibaan baginda di masjid itu disambut oleh imam Nafiyev Azer yang turut menerima sumbangan bagi pihak masjid berkenaan.

Tambah baginda, selain pengurusan yang cemerlang, sikap berprinsip pada dasar yang telah ditetapkan perlu ada pada setiap individu atau pihak yang dipertanggungjawabkan dalam menjalankan amanah dan tugas. 

“Sentiasalah berpegang teguh kepada prinsip kebaikan seperti yang telah diperuntukkan di dalam agama dan juga undang-undang. 

“Ini adalah asas kepada tamadun yang gemilang buat setiap generasi Islam,” titah baginda yang juga Canselor Unimap.