Lebih mendukacitakan tujuh kem pelarian di wilayah itu kini tidak boleh menampung lagi kebanjiran ratusan ribu etnik Islam Rohingya yang melarikan diri ekoran kekejaman dilakukan oleh tentera Myanmar.

Naib Pengerusi Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmidzi Sulaiman merayu seluruh dunia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan segera kepada pela­rian Rohingya yang merangkumi keperluan makanan, bekalan air bersih dan khemah sementara.

Jelasnya, walaupun pelbagai bantuan telah digerakkan ke tiga daerah iaitu Kutupalong, Teknaf dan Barukali yang dijadikan kem pelarian Rohingya, namun ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan mangsa yang bertambah kira-kira 20,000 orang setiap hari.

“Keadaan di kem-kem pelarian amat menyedihkan dan terdapat dalam mereka sakit serta kelaparan sehingga terpaksa makan rumput.

“Kalau hendak diceritakan memang banyak, tetapi kami boleh sifatkan ini merupakan krisis kemanusian paling terburuk berbanding perang Vietnam pada suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ahmad Tarmidzi merupakan antara tujuh sukarelawan menyertai Misi Bantuan Rohingya anjuran Mapim yang berlepas ke Cox’s Bazar pada Selasa lalu.

Pada masa sama, Setiausaha Agung Mapim, Zulhanis Zainol menjelaskan, sebanyak RM5 juta diperlukan sehingga bulan depan untuk membeli keperluan pelarian yang kini menghadapi situasi amat getir.

Katanya, Mapim bersama 30 NGO tempatan dan antarabangsa telah melancarkan pusat penyelaras misi kemanusian Rohingya di Cox's Bazar yang berpe­ranan untuk menyelaras bantuan kepada etnik Islam tersebut.

“Oleh demikian, NGO-NGO mahupun syarikat korporat yang ingin menghulurkan bantuan diminta menghubungi Mapim dan kita akan menyelaras bantuan kepada pela­rian,” katanya

Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan untuk menyalurkannya ke Tabung Rohingya Mapim 154001880630441 (Bank Al-Rahji) dan melayari www.mapim2u.com untuk sebarang maklumat lanjut.