“Alhamdulillah, dapat juga berpuasa bersama keluarga. Tak sangka dibebaskan ketika ini,” ujar nelayan itu yang pulang bersama seorang lagi rakannya, Abdul Halim Nik, 43, setibanya mereka di Dataran Permata Seberang Takir.

Selain ahli keluarga dan rakan-rakan, kepulangan mereka turut disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menunggu sejak pukul 10 malam.

Mereka berdua merupakan antara lima nelayan negeri ini yang ditahan di Pulau Terempa, kerana dikatakan menceroboh perairan negara itu

Bagaimanapun, tiga lagi rakan mereka, Mohd. Zaidi Mohammad, 23, dan Abdul Rashid Nik, 52, dari kampung yang sama serta Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman, masih ditahan.

Pembebasan nelayan ber­kenaan dibuat hasil rundi­ngan kerajaan negeri menerusi UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang digerakkan sebaik sahaja mereka ditahan 8 April lalu.

Mohd. Fadly dan Abdul Halim dibawa keluar dari Pulau Te­rempa oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan bot laju.

Mereka menempuhi perjalanan selama 10 jam untuk sampai ke Jeti Tanjung Pinang sebelum dibawa ke Stulang Laut, Johor pada pukul 12.30 tengah hari semalam dan meneruskan perjalanan ke Terengganu.

“Mengingatkan keadaan hidup selama sebulan ditahan, saya rasa serik untuk ke laut menangkap ikan, namun itulah punca rezeki kami. Kalau boleh selepas ini tidak mahu ke laut lagi,” ujarnya.

Mohd. Fadly yang sudah 23 tahun menjadi nelayan berkata, pengalaman ditahan di negara orang merupakan perasaan yang sukar digambarkan, selain memikirkan nasib keluarga yang ditinggalkan.